Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 15 Mei. – Awang Ahmad Syaahiq bin Haji Mohammad Abdullah; dan Awang Abdurrahman bin Haji Zulkaimi muncul johan keseluruhan bagi kategori masing-masing pada Musabaqah Membaca Al-Quran bagi Kanak-kanak Kelas Al-Quran dan Muqaddam (KQM) 2026 Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar anjuran MRSB, Kampung Sungai Akar yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Bagi Kategori 'A' Lelaki, johan disandang oleh Awang Abdurrahman bin Haji Zulkaimi, manakala naib johan pula milik Awang Kafeel 'Izzee bin Mohd. Kahirolizam, sementara tempat ketiga ialah Awang Afi Al Amzar bin Haji Mohammad Hasannuddin.
Sementara itu bagi Kategori 'A' Perempuan, Dayang Nayyirah Rania binti Mohd. Ruzaini muncul johan, manakala Dayang Nur Aliya Safrina binti Muhamad Nur Hijan dan Dayang Nurul Arisha Safiyyah binti Muhamad Nur Hijan pula, masing-masing menduduki naib johan dan tempat ketiga.
Manakala, bagi Kategori 'B' Lelaki, johan disandang oleh Awang Ahmad Syaahiq bin Haji Mohammad Abdullah, diikuti naib johan milik Awang Muhd. Naael Al-Haqq bin Muhd. Fauzan, sementara tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Muhammad Annaqee Ar Razeen bin Mohd. Abuzer.
Bagi Kategori 'B' Perempuan pula menyaksikan Dayang Huda Hayati binti Haji Mohd. Abdullah muncul johan, diikuti oleh Dayang Nur Syifa Azzahra binti Mohd. Hamizan selaku naib johan.
Musabaqah berkenaan dianjurkan sebagai usaha memperkukuh kecintaan generasi muda terhadap Al-Quran serta memupuk keberanian dan keyakinan dalam memperdengarkan bacaan Al-Quran di khalayak ramai.
Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori 'A' bagi peserta berumur enam hingga sembilan tahun yang memperdengarkan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Manakala Kategori 'B' pula bagi peserta berumur 10 tahun ke atas yang membaca Surah Al-Fatihah, Surah Ad-Dhuha, Surah As-Syarh serta Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga ayat 16.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Penaung-penaung Bersama MRSB, Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Pihak masjid berharap agar program seumpama berkenaan dapat menjadi medan tarbiah dan motivasi kepada anak-anak dalam mendekatkan diri kepada Al-Quran di samping melahirkan generasi yang cintakan kitab suci berkenaan.